Bhagavad Gita Falsafah_Vedanta

[Artikel Utama: Bhagavad Gita]

Bhagavad Gita bukan suatu karya falsafah yang sistematik. Namun, semua subjek-subjek utama dalam falsafah India boleh dikaji dalam mahakarya ini. Biasanya, falsafah India atau Darsana, membincangkan empat subjek ini iaitu:

  • Alam dan ciptaan atau evolusi
  • Kewujudan dan sifat Tuhan atau Yang Maha Mutlak
  • Sifat semula jadi manusia
  • Matlamat hidup manusia

Pada penghujung setiap bab, Bhagavad Gita menyebut bahawa kandungannya ialah Upanishad, Brahmavidya dan Yogasastra. Sesungguhnya Bhagavad Gita ialah sebuah 'Upanishad' atau ilmu esoterik yang diberikan oleh seorang guru bagi menjawab soalan-soalan pelajarnya. Bhagavad Gita ialah Brahmavidya kerana ia membincangkan tentang Brahman. Bhagavad Gita ialah suatu 'Yogasastra' kerana ia menghuraikan yoga atau disiplin-disiplin praktikal yang membantu seseorang mencapai ilmu rohaniah atau matlamat kehidupan.

Sri Krishna dipuja dan disembah sebagai Tuhan yang telah menjelma dalam rupa manusia demi melindungi manusia dan mempertahankan Dharma. Sri Krishna sering menyamakan diri-Nya dengan Tuhan dan bercakap dengan penuh otoriti dalam Bhagavad Gita, Mahabharata dan Bhagavatam. Ketika menelaah falsafah Bhagavad Gita, perkara ini perlu diingati.

Advaita Vedanta

Falsafah India yang paling popular ialah Advaita Vedanta. Sankara (juga dikenali sebagai Adi Sankara dan Sankaracharya) merupakan ahli falsafah dan mistik yang memperkembangkan falsafah ini. Menurut Sankara, Kebenaran (Realiti) hanya satu dan ia dipanggil sebagai Brahman. Brahman ialah Sat-Cit-Ananda (‘Kewujudan-Ilmu-Kebahagiaan Abadi’). Brahman tiada rupa (Nirakara) dan tiada sifat (Nirguna).[6]

Dunia yang nyata ini sebenarnya tidak wujud atau tidak benar. Kewujudan dunia ini hanya satu ilusi yang disebabkan oleh kejahilan. Ini dijelaskan dengan kiasan tali yang nampak seperti ular. Katakan kamu terlihat sesuatu yang kelihatan seperti ular. Pada mulanya, kamu percaya ia seekor ular. Apabila kamu sedar bahawa ia bukan ular tetapi hanya seutas tali, kamu tidak akan melihat ular lagi. Begitu juga, menurut Sankara, manusia melihat dunia ini sebagai realiti. Selagi dia melihat dunia, dia tidak sedar bahawa sebenarnya ia ialah Brahman. Selagi dunia wujud, kewujudan proses ciptaan, pemeliharaan dan pemusnahan dunia juga perlu diakui. Semua fungsi ini dikatakan dilakukan oleh Isvara atau Tuhan dengan kuasa maya-Nya.[7]

Sri Sankaracharya

Sankara menyatakan bahawa jiwa individu serupa dengan Brahman. Disebabkan kejahilan akan dirinya sendiri, jiwa melihat perbezaan antara dirinya dan Brahman. Kejahilan ini wujud selama-lamanya selagi jiwa mendapat ilmu (jnana) mengenai Atman (Jiwa yang serupa Brahman).

Oleh kerana kejahilan (ajnana) telah menyebabkan jiwa dibelenggu, Sankara berpendapat bahawa hanya ilmu (jnana) yang dapat memberikan kebebasan mutlak. Namun, beliau mengakui bahawa tindakan tanpa mementingkan diri (niskama karma) dan cinta kepada Tuhan (Bhakti) boleh membantu dalam persediaan awal. Kebebasan mutlak bermaksud jiwa bersatu dengan Brahman dan hilang keindividuannya.[8]

Tokoh-Tokoh Utama